Apa Itu Ujian PISA dan TIMSS?
Ujian PISA adalah
merupakan akronim kepada Programme International Student Assessment yang
diperkenalkan oleh OECD (Organisation For Economic Co-operation and
Development). Ujian ini diadakan 3 tahun sekali bermula pada tahun 2000, dan
negara kita Malaysia mula menyertainya pada tahun 2009.
PISA 2012 merupakan
kajian ke-5 yang diadakan. Ujian ini adalah bagi menguji tahap penguasaan
remaja berusia 15 tahun terhadap keupayaan membaca, Sains dan Matematik.
Sebanyak 65 buah negara terlibat pada Ujian PISA 2012, dengan hampir seramai
510 000 pelajar terlibat.
Ujian berlangsung
selama 2 jam. Ujian terdiri daripada gabungan soalan terbuka (open-ended) dan
juga soalan pelbagai pilihan jawapan (multiple-choice).
Ada dua lagi ujian
atau pun kajian yang juga berkaitan dengan PISA, iaitu TIMSS dan PIRLS.
TIMSS adalah singkatan
kepada Trends in International Mathematics and Science Study, dan PIRLS adalah
singkatan kepada Progress in International Reading Literacy Study. Boleh
dikatakan bahawa Ujian PISA adalah gabungan kepada dua ujian/kajian ini.
Bezanya, TIMSS
diadakan bagi mengkaji penguasaan pelajar antarabangsa dalam subjek Matematik
dan Sains sahaja. Dan juga TIMSS dilaksanakan 4 tahun sekali.
Antara negara-negara
yang sering mengungguli Ujian PISA ini adalah Finland, Korea, Hong Kong, Jepun,
Shanghai (China) serta Singapura. Disebabkan itu jugalah negara-negara ini
sering dijadikan rujukan bagi sistem pendidikan antara yang terbaik di dunia,
terutamanya sistem pendidikan negara Finland.
Ujian PISA yang
terkini pada tahun 2012 juga mendapati Shanghai (China), Hong Kong dan
Singapura merupakan tiga negara yang mendapat kedudukan tertinggi dalam ujian
membaca, Sains dan Matematik.
Manakala kedudukan
Malaysia dalam Ujian PISA adalah seperti berikut:
2009
Matematik - 57 (mata
404)
Sains - 53 (mata 422)
Membaca - 55 (mata
414)
2012
Matematik - 52 (mata
421)
Sains - 53 (mata 420)
Membaca - 59 (mata
398)
Jika diperhatikan
daripada segi mata yang diperolehi oleh pelajar dari Malaysia, jelas
menunjukkan penurunan bagi subjek Sains dan Membaca.
Dikatakan ada 3 faktor
yang menyumbang kepada keputusan ini, iaitu sikap pelajar yang tidak menjawab
dengan bersungguh-sungguh, format soalan PISA yang berbeza daripada format
soalan peperiksaan Malaysia yang lebih ringkas dan keutamaan guru dalam
menghabiskan sukatan berbanding menerangkan konsep sebenar pengetahuan.
Untuk itu, Kementerian
Pendidikan Malaysia telah merancang beberapa strategi bagi mengatasi masalah
ini.
1. KSSR / KSSM
Elemen baharu, iaitu
inovasi dan kreativiti dengan subjek keusahawanan dan teknologi maklumat
komunikasi (ICT). KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) diperkenalkan pada
tahun Januari 2011 dan akan diteruskan dengan KSSM (Kurikulum Standard Sekolah
Menengah) pada tahun 2017.
2. i-Think
Kerjasama antara KPM
dengan Agensi Inovasi Malaysia. Kaedah pembelajaran dengan menggunakan 8 Peta Pemikiran. Dirintis pada tahun
2012 di 10 buah sekolah, dan dilaksanakan di seluruh Malaysia pada 2014.
3. Kajian Susulan
KPM menjalankan kajian
kes di sekolah yang mendapat keputusan yang
cemerlang pada Ujian
PISA 2009. Hasil dapatan daripada kajian kes tersebut akan dikongsikan sebagai
amalan terbaik pengajaran.
4. PPPM
Hasil kajian PISA dan
TIMSS juga menjadi input utama dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM). Ini kerana PISA dan TIMSS merupakan penandaaras kepada pencapaian
pelajar seluruh dunia dalam penguasaan Matematik, Sains dan Membaca.
Peperiksaan peringkat
sekolah dan kebangsaan akan diubahsuai dengan menambahkan bilangan soalan aras
tinggi yang menggunakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
5. Task Force TIMSS
dan PISA
Pasukan khas ini
ditubuhkan bagi memberi tumpuan dalam meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam
kalangan murid dan guru.
Mudah-mudahan artikel
mengenai PISA dan TIMSS ini, mampu memberi ruang kepada kita untuk memahami dan
menilai semula rasional di sebalik transformasi pendidikan yang sedang
dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sekiranya anda
merasakan artikel ini dapat memahamkan orang lain juga mengenai Ujian PISA dan
kaitannya dengan bakal sistem pendidikan negara kita, maka saya sangat
mengesyorkan untuk anda kongsi artikel ini. Terima kasih, semoga kita
sama-sama mendapat manfaat!